KENINGAU: Karnival Jiwa Etnik Borneo (KAJEBO) 2026 menjadi platform penting dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Borneo, khususnya dalam mendepani cabaran arus pemodenan.
Pengerusi Sabah NET Sdn Bhd, Datuk Azman Haji Ruslan berkata, usaha penganjur mengetengahkan keunikan budaya, adat resam dan tradisi masyarakat Borneo wajar diberikan penghargaan.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau berkata, inisiatif seumpama itu penting bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
“Usaha seperti KAJEBO adalah murni dan amat bermakna bagi memastikan keunikan budaya, adat resam serta tradisi masyarakat Borneo terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian KAJEBO 2026 yang berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai pengisian merangkumi kebudayaan, kesenian, sukan dan warisan masyarakat.
Azman turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai kepentingan menghargai warisan budaya sebagai lambang identiti dan kebanggaan masyarakat Borneo.
Antara acara yang dianjurkan ialah Showcase Amal KAJEBO, Santai Budaya Borneo, sambutan Hari Sukan Negara, Miss National Cultural Malaysia, Traditional Food Bazaar serta pameran kraftangan.
Karnival itu turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali dan menghayati kepelbagaian budaya etnik Borneo, sekali gus memupuk penghargaan terhadap warisan yang menjadi identiti masyarakat di rantau ini.
Turut hadir ialah Pembantu Pegawai Daerah Keningau (Pentadbiran), Christine Tiffany Charles Lohindun; Naib Ketua Pemuda PGRS Keningau, Daniel; dan Pengerusi Penganjur KAJEBO 2026, Syahril Amin.-Dakwat Rakyat Post
