KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pekerja gig di Sabah, khususnya golongan belia, tidak tercicir daripada manfaat inisiatif ekonomi gig bernilai RM160 juta menerusi Belanjawan 2027.
Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, keberkesanan inisiatif yang dibiayai bersama Kerajaan Persekutuan dan Grab itu perlu dinilai berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat diakses oleh pekerja e-hailing dan p-hailing di seluruh negeri.
Beliau berkata, selain peruntukan yang disediakan, kejelasan syarat kelayakan, kemudahan pendaftaran dan kefahaman pekerja mengenai mekanisme padanan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menentukan kejayaan pelaksanaannya.
“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak peruntukan disediakan, tetapi bagaimana peruntukan itu diterjemahkan kepada perlindungan yang benar-benar boleh dimanfaatkan oleh pekerja gig.
“Pekerja perlu mengetahui siapa yang layak, bagaimana hendak mendaftar, berapa jumlah caruman yang perlu ditanggung dan apakah perlindungan yang bakal mereka nikmati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abqaree berkata, usaha memastikan maklumat dan kemudahan pendaftaran sampai kepada pekerja gig di seluruh Sabah perlu diberi perhatian, termasuk mereka yang berada di luar kawasan bandar utama.
Menurutnya, perbezaan geografi, kepadatan penduduk, kos operasi dan akses kepada perkhidmatan antara Kota Kinabalu dengan daerah lain memerlukan pendekatan pelaksanaan yang bersesuaian dengan keadaan setempat.
“Keperluan pekerja gig di Kota Kinabalu mungkin berbeza daripada mereka yang bekerja di daerah seperti Kota Belud, Kudat, Keningau dan Tawau.
“Oleh itu, pendekatan pelaksanaan tidak boleh bergantung pada satu kaedah sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan sebenar pekerja di setiap daerah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya data berkaitan jumlah pekerja gig di Sabah, profil mereka dan bilangan yang layak menerima manfaat diperincikan bagi membantu perancangan serta penilaian keberkesanan program.
Katanya, maklumat itu penting untuk mengenal pasti jurang penyertaan dan memastikan golongan sasaran mendapat perlindungan sosial sewajarnya, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan pendapatan, kos operasi dan risiko keselamatan ketika bekerja.
Dalam pada itu, Abqaree berkata MBS bersedia membantu menerusi program penerangan, kempen kesedaran dan sesi libat urus bagi meningkatkan pemahaman pekerja gig mengenai manfaat serta mekanisme penyertaan yang disediakan.
“MBS tidak mahu sekadar menyatakan sokongan terhadap sesuatu dasar. Kita mahu memainkan peranan yang praktikal dalam membantu memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat kepada anak muda Sabah.
“Kami juga bersedia menyampaikan maklum balas daripada golongan akar umbi kepada pihak berkuasa supaya sebarang kekangan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan ditangani,” katanya.-Dakwat Rakyat Post
