KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mempertimbangkan pelucutan hak kenderaan terhadap pemandu mabuk dan khayal dadah, khususnya bagi kesalahan yang mengakibatkan kematian atau kecederaan parah.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah berkata, cadangan itu wajar dimasukkan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperkukuh tindakan terhadap pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Beliau berkata, selain hukuman sedia ada, pesalah juga perlu diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mereka yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
“BBC mencadangkan supaya akta itu digubal dengan lebih drastik bagi membolehkan kenderaan pesalah dirampas dan dilucut hak, khususnya bagi kes yang melibatkan kematian dan kecederaan parah.
“Jika Malaysia boleh melucutkan lori komersial secara kekal kerana membawa muatan berlebihan, adalah adil jika tindakan sama dikenakan terhadap pemandu mabuk atau khayal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan pindaan Akta 333 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027, Jumaat lalu.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, pindaan itu perlu memperincikan keadaan yang membolehkan rampasan kenderaan diwajibkan, termasuk bagi pesalah berulang.
Menurutnya, kenderaan yang terbabit dicadangkan disita di lokasi kejadian, sebelum notis rampasan dikeluarkan kepada pemilik dalam tempoh 48 jam.
Katanya, kes berkenaan perlu dibawa ke mahkamah dan sekiranya pesalah disabitkan, perintah pelucutan hak kenderaan dicadangkan dikeluarkan, selain lesen memandu mereka dibekukan.
“Pemilikan kenderaan itu hendaklah dipindahkan kepada kerajaan sebelum dilelong selepas tempoh minimum 90 hari,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan mekanisme itu perlu melindungi hak pemilik pihak ketiga yang tidak bersalah, termasuk ibu bapa, majikan dan agensi kerajaan yang memiliki kenderaan digunakan oleh pesalah.
Masiung turut mencadangkan supaya ruang budi bicara disediakan bagi kes tertentu, termasuk kesalahan pertama membabitkan golongan berpendapatan rendah (B40), khususnya penunggang motosikal dengan tahap alkohol rendah.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan hukuman yang dicadangkan tegas dan berkesan, tanpa mengabaikan hak serta kepentingan pihak yang tidak bersalah.-Dakwat Rakyat Post
