PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bulatan dan sebuah kereta di Bulatan Pavilion, Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa datang dari arah lampu isyarat KDCA sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Motosikal itu kemudian melanggar bulatan sebelum merempuh bahagian kanan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya
Sammy turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa berhati-hati, terutama ketika melalui kawasan bulatan pada waktu malam.
Beliau turut meminta orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video kemalangan berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.-Dakwat Rakyat Post
