TAWAU: Pelaksanaan berkesan dan pemantauan rapi terhadap Belanjawan MADANI 2027 penting bagi memastikan peruntukan pembangunan serta kebajikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan masyarakat di Sabah.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tawau, Fung Thin Yein berkata, belanjawan berjumlah RM510 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat itu memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Beliau berkata, peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah dan RM16.2 bilion untuk Sarawak, selain RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar, lampu jalan serta bekalan air bersih dan elektrik, perlu dimanfaatkan bagi menangani keperluan asas penduduk di Malaysia Timur.
“Bagi Sabah, perkara paling penting ialah memastikan peruntukan yang diumumkan benar-benar sampai kepada rakyat.
“Kita mahu melihat lebih banyak projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual, masalah bekalan air dan elektrik ditangani serta jaringan jalan raya luar bandar terus dipertingkatkan,” katanya ketika mengulas Belanjawan MADANI 2027.
Fung berkata, kejayaan belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui perubahan nyata yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM1.5 bilion bagi kebajikan orang kurang upaya (OKU), selain RM3.1 bilion untuk memartabatkan syiar Islam serta peluasan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada imam, bilal dan petugas masjid.
Dalam sektor kesihatan, beliau berkata usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit dan penyerapan 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap merupakan antara langkah yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.
“Petugas kesihatan merupakan tunjang kepada sistem kesihatan negara. Usaha memperbaiki kebajikan mereka dan meningkatkan akses pesakit kepada rawatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti,” katanya.
Dalam sektor pertanian dan perikanan, Fung berkata peningkatan bantuan kepada pesawah, nelayan dan pekebun kecil penting bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos operasi serta ketidaktentuan pendapatan.
Katanya, bantuan sehingga RM4,300 sehektar setiap musim kepada pesawah perlu disalurkan melalui mekanisme yang cekap bagi memastikan penerima memperoleh bantuan mengikut keperluan dan tempoh ditetapkan.
Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan jalan raya, termasuk cadangan mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan.
Menurutnya, langkah itu perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh tanggungjawab terhadap mangsa dan memastikan aspek keadilan diberikan perhatian.
Fung berharap semua inisiatif dalam belanjawan berkenaan dilaksanakan dengan telus serta dipantau secara berterusan, terutama di Sabah yang masih berdepan cabaran pembangunan infrastruktur dan akses kepada kemudahan asas.
“Belanjawan yang baik ialah belanjawan yang mampu mengubah kehidupan rakyat, mengurangkan beban kos sara hidup dan membuka lebih banyak peluang ekonomi.
“Itulah ukuran sebenar kejayaan sesebuah dasar kerajaan,” katanya.-Dakwat Rakyat Post
