KOTA KINABALU: Sokongan terhadap industri kreatif tempatan menyaksikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bersetuju menaja lima dewan tayangan khas filem MR. FINANCE: Cinta Gadis Autisme di 10Star Cinemas Kubota, Tawau, pada 14 November depan.
Tajaan itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai penonton menyaksikan karya anak Sabah berkenaan, yang mengangkat kisah percintaan selain membawa mesej mengenai kasih sayang, penerimaan dan kesedaran terhadap individu autistik.
Pengarah dan penulis skripnya, Jade Morris berkata, filem terbitan Nautica Production Sdn Bhd yang mula ditayangkan pada 8 Oktober lalu itu masih berdepan cabaran mendapatkan sambutan penonton seperti diharapkan.
Beliau berkata, terdapat pengguna media sosial yang menyangka filem berkenaan merupakan produksi Indonesia sebelum mengetahui ia sebenarnya dihasilkan oleh tenaga produksi tempatan Sabah.
“Mungkin ada yang melihat poster atau treler kami dan menyangka ini filem luar negara, tetapi sebenarnya ini filem anak Sabah, hasil usaha kami sendiri.
“Saya berharap orang ramai dapat mengenali filem ini dan memberi peluang untuk menontonnya sebelum membuat penilaian,” katanya.
Filem itu dihasilkan menggunakan dana sendiri tanpa bantuan geran pembikinan, dengan Jade mengetuai produksi bersama penerbit, Gregory Giting, serta barisan pelakon dan tenaga produksi tempatan.
Menerusi watak Dani, seorang gadis autistik, filem berkenaan mengetengahkan hakikat bahawa individu autistik turut mempunyai perasaan, harapan dan keinginan untuk dicintai seperti insan lain.
Jade berkata, beliau berharap kisah itu dapat membuka perspektif masyarakat terhadap golongan autistik serta menggalakkan pemahaman dan penerimaan tanpa prejudis.
Persetujuan tajaan lima dewan tayangan itu dicapai menerusi pertemuan antara Nizam dengan Jade, Gregory dan Pembantu Penerbit, Fuad Larkins, di pejabat menteri berkenaan di sini, hari ini.
Jade menyifatkan sokongan itu sebagai suntikan semangat kepada produksi untuk terus memperjuangkan karya tempatan, terutama ketika berdepan kekangan kewangan dan sambutan penonton yang masih rendah.
Beliau turut menggesa masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia supaya memberi peluang kepada filem itu selagi masih ditayangkan di pawagam.
Katanya, sokongan terhadap karya anak tempatan penting bagi membuka ruang kepada lebih banyak penerbitan filem Sabah pada masa hadapan.- Dakwat Rakyat Post
