LAHAD DATU: Ketua Bahagian Parti Warisan Lahad Datu, Assaffal Panglima Alian,mengadakan kunjungan terhadap Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Hazeem Mubarak Tun Musa Aman, bagi membincangkan kaedah penyelesaian menang-menang berhubung isu penduduk Kampung Sri Takun yang menduduki kawasan tanah Skim Pekebun Kecil Bagahak.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, kawasan berkenaan dimajukan oleh Ladang Sri Bagahak Sdn. Bhd sekali gus menjadikan perbincangan mengenai penyelesaian isu berkenaan penting bagi mencari pendekatan yang dapat mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menerusi perkongsian di Facebook, Assaffal menyatakan keyakinan bahawa keikhlasan dalam setiap usaha akan membuahkan hasil yang baik.
“Saya percaya, jika kita ikhlas dalam melakukan apa saja, hasilnya tetap perkara yang baik akan terjadi. Kita doakan yang terbaik untuk rakyat dan Sabah khasnya,” katanya.
Usaha mencari penyelesaian secara menang-menang itu diharap dapat membuka ruang kepada perbincangan konstruktif demi kepentingan penduduk Kampung Sri Takun, selain mengambil kira kedudukan tanah yang dimajukan oleh syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai hasil pertemuan serta sebarang keputusan rasmi berhubung isu berkenaan belum dinyatakan dalam perkongsian tersebut- DAKWAT RAKYAT POST
