ARAU: Hanya wakil individu atau syarikat yang berdaftar sebagai Perantara Berdaftar dibenarkan menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan di semua pejabat dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 Januari 2027.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pendaftaran Perantara Berdaftar akan dibuka secara dalam talian mulai 1 November ini.
Beliau berkata, pemohon yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi digital yang sah selama dua tahun.
JPJ dalam kenyataan menegaskan bahawa jabatan itu tidak mempunyai sebarang ikatan atau hubungan perniagaan dengan mana-mana Perantara Berdaftar.
Sehubungan itu, JPJ tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian antara pelanggan dengan pihak perantara berkenaan.
Orang ramai turut digalakkan berurusan secara terus melalui aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ atau kaunter rasmi jabatan bagi memastikan urus niaga dilaksanakan dengan lebih selamat, telus dan terjamin.-Dakwat Rakyat Post
