TENOM: Barisan Nasional (BN) Tenom bersedia menggalas amanah rakyat dan memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat, termasuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya, Datuk Raime Unggi, berkata BN Tenom mempunyai kekuatan jentera, pengalaman serta sokongan akar umbi untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, keputusan berhubung penyertaan BN di Tenom pada pilihan raya akan datang diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“BN Tenom bukan sekadar mahu menjadi pemerhati. Kita mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela.
“Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai penyertaan BN di Tenom pada pilihan raya akan datang adalah tertakluk kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti menerusi rundingan dan persefahaman bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Raime menyarankan setiap parti komponen BN supaya menyusun semula dan memperkemas struktur cawangan masing-masing bagi memantapkan organisasi serta memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan jentera BN Tenom lebih tersusun, berkesan dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan politik.
“Apabila tiba masanya, BN Tenom bersedia menggalas amanah yang diberikan. Kita bukan sekadar mahu bersuara, tetapi mahu bekerja dan membuktikan kemampuan kepada rakyat,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
