BESUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi membawa seorang pesakit yang mengalami sawan demam dari Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil ke tanah besar, petang semalam.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu menggunakan kapal Maritim Malaysia, KM Bagahak, dengan pesakit dibawa ke Jeti Fairfield by Marriott, Besut sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Besut.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil sebelum berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu bagi menyelaraskan bantuan kecemasan.
Maklumat mengenai pesakit yang memerlukan bantuan perubatan segera itu diterima kira-kira jam 4.27 petang.
Pemindahan tersebut bertujuan memastikan pesakit dapat dibawa ke hospital dengan segera untuk menjalani pemeriksaan serta menerima rawatan lanjut.
Penggunaan KM Bagahak dalam operasi berkenaan mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam menyalurkan bantuan kecemasan kepada masyarakat maritim, khususnya penduduk dan pengunjung pulau yang memerlukan akses segera kepada kemudahan perubatan di tanah besar.
Maritim Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan bantuan kecemasan di laut dan perairan negara, selaras dengan tanggungjawab agensi dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan serta bantuan kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat.-DAKWAT RAKYAT POST
