KOTA MARUDU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Marudu berjaya menangkap seekor buaya dianggarkan seberat 100 kilogram dan sepanjang kira-kira lapan kaki selepas reptilia itu ditemukan terperangkap dalam pukat di Kampung Birahan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook rasmi APM kota Marudu kejadian disedari seorang penduduk ketika hendak menarik pukat sebelum mendapati seekor buaya terperangkap di dalamnya.
Susulan panggilan kecemasan daripada orang awam, anggota APM Kota Marudu yang diketuai L/KPL (PA) Ahzizi Junaidi bersama empat anggota lain segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tindakan lanjut.
Setibanya di lokasi, anggota menggunakan perahu milik pengadu untuk menuju ke kawasan perairan tempat buaya berkenaan terperangkap.
Hasil tindakan anggota, reptilia berkenaan berjaya ditangkap dan didapati masih hidup. Buaya itu dianggarkan mempunyai berat sekitar 100 kilogram dengan panjang kira-kira lapan kaki.
Kejadian tersebut menjadi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan perairan, khususnya di lokasi yang berpotensi menjadi habitat buaya.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Marudu menerusi talian 088-661656.-DAKWAT RAKYAT POST
