TAWAU: Empat sahabat direman tujuh hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan berhubung rampasan pil disyaki dadah jenis ekstasi bernilai RM98,560 dalam serbuan di Taman Unipark, Jalan Utara, di sini, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, terhadap kesemua suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Berdasarkan keterangan kes, operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Ketika pemantauan, seorang daripada suspek dilihat membawa bungkusan hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum memasuki sebuah rumah pekerja di kawasan terbabit, kira-kira jam 3 petang.
Sepasukan polis kemudian menyerbu rumah berkenaan dan menahan tiga lelaki sebelum menemukan bungkusan plastik hitam di atas lantai ruang tamu.
Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan itu, polis menemukan 1,408 biji pil disyaki ekstasi dengan anggaran berat 609.89 gram.
Soal siasat lanjut membawa kepada penahanan suspek keempat yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah itu.
Dia ditahan di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang diparkir di luar kawasan rumah berkenaan.
Kesemua suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal mendapati seorang daripada mereka positif Amphetamine dan Methamphetamine.-DAKWAT RAKYAT POST
