KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memastikan pembangunan industri minyak dan gas bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti penerokaan dan pengeluaran, sebaliknya mampu menjana nilai ekonomi lebih besar serta manfaat berpanjangan kepada negeri dan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kejayaan industri berkenaan perlu dinilai berdasarkan sejauh mana sumber yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan peluang pembangunan untuk Sabah.
Beliau berkata, rantaian nilai industri minyak dan gas merangkumi pelbagai sektor, termasuk infrastruktur, perkhidmatan sokongan, aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja berkemahiran serta pelaburan.
“Sudah tentu, kita mahu supaya perkembangan industri ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah bagi Projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Projek Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan PETRONAS, di Hyatt Regency Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, perkembangan aktiviti penerokaan dan penemuan sumber baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan prospek pembangunan industri minyak dan gas yang lebih besar kepada Sabah pada masa hadapan.
Menurutnya, infrastruktur SOGT dan SSGP perlu dilihat bukan sekadar berdasarkan fungsi operasinya, tetapi sebagai aset penting yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, kemudahan berkenaan berpotensi merangsang aktiviti ekonomi dan perindustrian di kawasan sekitarnya, khususnya koridor Kimanis hingga Sipitang yang mempunyai ruang untuk terus berkembang sebagai kawasan pertumbuhan utama Sabah.
Beliau berkata, infrastruktur sedia ada perlu dimanfaatkan bagi menyokong bukan sahaja keperluan semasa, malah peluang pelaburan, pembangunan industri dan peningkatan sosioekonomi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri menghargai sumbangan, pelaburan dan kepakaran PETRONAS yang sekian lama menjadi sebahagian daripada pembangunan industri minyak dan gas tempatan.
Katanya, kerajaan negeri mahu melihat lebih banyak peluang penyertaan untuk syarikat dan vendor tempatan, termasuk membantu mereka meningkatkan keupayaan teknikal, pengurusan, teknologi serta modal bagi membolehkan mereka merebut peluang bernilai tinggi dalam rantaian industri berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan dengan memastikan anak Sabah mendapat peluang memperoleh kemahiran, pengalaman dan pendedahan yang diperlukan untuk membina kerjaya dalam sektor minyak dan gas, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.
Pada masa sama, Hajiji berkata SEDCO perlu memainkan peranan lebih besar, bukan sekadar sebagai pemilik dan pengurus aset, tetapi juga sebagai pemudah cara pelaburan serta rakan strategik industri.
Menurutnya, SEDCO perlu lebih proaktif mengenal pasti aset, peluang dan ruang kerjasama yang boleh dibangunkan bersama pemain industri, termasuk melibatkan tanah, infrastruktur dan pembangunan komersial bagi menjana pulangan munasabah kepada negeri.
Beliau berkata pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara SEDCO dengan PETRONAS itu mencerminkan usaha mengurus aset tanah negeri secara lebih teratur, memberikan kepastian kepada pengguna serta memelihara kepentingan komersial Sabah.
Hajiji berharap kerjasama antara SEDCO dan PETRONAS dapat berkembang daripada hubungan berasaskan transaksi kepada perkongsian strategik yang lebih luas, sekali gus memastikan pembangunan sumber dan aset negeri menghasilkan nilai ekonomi yang nyata serta berkekalan.-DAKWAT RAKYAT POST
