KENINGAU: Seorang bekas Pegawai Penerangan Daerah Keningau dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM73,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan mengandungi butiran matan palsu berjumlah RM14,720, berkaitan penganjuran Sukan Sabah (SAGA) IX Keningau 2019.
Hakim Dr Nur Ashikin Mokhtar menjatuhkan hukuman terhadap Jaffar Matamin, 62, pada Jumaat lalu selepas tertuduh didapati bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Jaffar yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Keningau didakwa mengemukakan dokumen tuntutan bertarikh 18 Februari 2020 kepada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah atas nama Didi Enterprise.
Dokumen berkenaan membabitkan tuntutan membekalkan makanan dan minuman kepada petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Keningau sempena SAGA IX Keningau 2019, yang berlangsung dari 5 hingga 13 Disember 2019.
Bagaimanapun, tuntutan berjumlah RM14,720 bagi pembekalan makanan dan minuman untuk sarapan pagi, makan tengah hari serta makan petang itu mengandungi butiran matan palsu kerana bekalan berkenaan sebenarnya tidak disediakan sepenuhnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh mengemukakan tuntutan berkenaan kepada pihak kementerian selaku prinsipalnya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman terhadap individu yang menggunakan dokumen mengandungi butiran matan palsu dengan niat memperdayakan prinsipalnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada M.S Shah & Associates.
Hukuman penjara 12 bulan itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan pada 9 Oktober 2026.-Dakwat Rakyat Post
