TAWAU: Insentif pengecualian cukai yang ditawarkan kerajaan dilihat mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat swasta mengambil bekas banduan bekerja, sekali gus memberi peluang kepada golongan itu memulakan kehidupan baharu.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan bekas banduan mendapat peluang kedua untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.
Katanya, penglibatan majikan bukan sahaja membantu proses pemulihan golongan berkenaan, malah membuka ruang kepada syarikat swasta memainkan peranan dalam usaha membina masyarakat lebih inklusif.
“Dengan inisiatif kerajaan sendiri, termasuk menawarkan pengecualian cukai dan beberapa program yang mampu memberi impak positif kepada syarikat, saya melihat kolaborasi dan integrasi seperti ini sangat perlu diwujudkan serta dikembangkan lagi.
“Banyak peluang juga untuk syarikat swasta di luar sana mengambil bahagian dalam usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Outreach Korektif Peringkat Penjara Tawau, di sini, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan menjadi platform menghimpunkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik bagi mengenal pasti latar belakang serta potensi prospek pemulihan yang boleh dibantu mendapatkan pekerjaan.
Katanya, persediaan menghadapi kehidupan selepas menjalani hukuman penting supaya golongan itu mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dan tuntutan masyarakat.
“Kita tidak mahu mereka ketinggalan ketika berada di dalam penjara. Mereka juga perlu mempunyai sikap bersedia dan terbuka untuk menghadapi masyarakat serta memahami keperluan dan isu semasa,” katanya.
Rina berkata, seramai enam prospek terbabit dalam program pemulihan dalam komuniti yang masih berada di bawah pemantauan pihak berkaitan.
Beliau berkata, usaha memperluas pendedahan kepada masyarakat juga penting bagi mengurangkan prejudis terhadap bekas banduan yang berusaha membina kehidupan baharu.
Katanya, masyarakat perlu memberi ruang kepada mereka membuktikan kemampuan diri dan tidak terus menghukum berdasarkan kesilapan lampau.
“Program seperti ini bukan perkara baharu, tetapi apabila kita mengambil pendekatan untuk memperluas hebahannya, masyarakat akan lebih peka dan memahami tujuan sebenar usaha berkenaan.
“Kita mahu mengikis sikap prejudis supaya mereka yang kembali ke kampung halaman dan menyertai masyarakat tidak terus dipandang negatif,” katanya.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara kerajaan, majikan dan masyarakat dapat memperkukuh program pemulihan dalam komuniti, sekali gus membantu bekas banduan memperoleh pekerjaan serta membina kehidupan lebih stabil.-DAKWAT RAKYAT POST
