TAWAU: Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan ke negara asal menerusi Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Binti Habib Yussof, berkata pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar menerusi program pemindahan tahanan PATI melalui laluan laut bagi tahun 2026.
Daripada jumlah itu, seramai 96 orang ialah lelaki dewasa, 30 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 70 tahun.
Kanak-kanak yang terbabit dalam program pemindahan itu turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Menurutnya, pada 12 Oktober lalu, Depot Imigresen Kota Kinabalu turut melaksanakan pemindahan 29 warga Filipina dan tujuh warga China melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke negara asal masing-masing.
Pemindahan ke Manila, Filipina membabitkan 23 lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala pemindahan ke Guangzhou, China melibatkan empat lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa.
JIM Sabah memaklumkan bahawa program pemindahan itu dilaksanakan terhadap tahanan yang telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan mereka kembali ke negara asal.
Dalam perkembangan berkaitan, jabatan itu terus melaksanakan pemindahan tahanan PATI melibatkan pelbagai warganegara ke negara masing-masing sepanjang tahun ini.
JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my -DAKWAT RAKYAT POST
