TAWAU: Fiesta Hari Terapi Cara Kerja 2026 Peringkat Hospital Kluster Tawau menjadi platform meningkatkan kesedaran mengenai peranan terapi cara kerja dalam membantu pesakit mencapai tahap berdikari dan meningkatkan kualiti hidup.
Program yang menghimpunkan seramai 170 peserta itu dirasmikan Timbalan Pengarah Klinikal I Hospital Tawau, Datuk Dr. Azman Ibrahim, yang mewakili Pengarah Hospital Tawau, pada 12 Oktober lalu.
Fiesta anjuran Unit Terapi Cara Kerja Hospital Tawau itu diadakan dengan kerjasama unit berkenaan dari Hospital Kunak, Hospital Lahad Datu dan Hospital Semporna, selain Klinik Kesihatan Lahad Datu serta Klinik Kesihatan Tawau.
Berteraskan tema “Participation Matters”, program itu menekankan kepentingan penglibatan individu dalam aktiviti harian seperti penjagaan diri, pembelajaran, pekerjaan, riadah dan kehidupan bermasyarakat bagi menyokong kesejahteraan serta kualiti hidup.
Menerusi Jelajah Enam Zon Interaktif, perkongsian ilmu dan demonstrasi modaliti rawatan, peserta berpeluang memahami dengan lebih dekat skop perkhidmatan terapi cara kerja serta pendekatan pemulihan yang boleh membantu pesakit menjalani kehidupan seharian.
Pendekatan itu turut memperlihatkan bagaimana aktiviti terapeutik dan penyesuaian tugasan boleh membantu pesakit meningkatkan keupayaan melakukan aktiviti harian mengikut keperluan serta tahap keupayaan masing-masing.
Selain meningkatkan kesedaran masyarakat, program berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kefahaman warga hospital, khususnya pegawai perujuk, mengenai peranan dan skop intervensi terapi cara kerja.
Pendidikan berkaitan aktiviti pemulihan di rumah turut diketengahkan bagi menggalakkan penglibatan pesakit, ahli keluarga dan penjaga dalam memastikan kesinambungan proses rehabilitasi selepas pesakit meninggalkan fasiliti kesihatan.
Penganjuran fiesta itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama antara pasukan terapi cara kerja di hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan primer dalam Hospital Kluster Tawau bagi menyokong penyampaian perkhidmatan rehabilitasi yang lebih bersepadu dan berfokuskan keperluan pesakit.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Klinikal II Hospital Tawau, Dr. Siti Fatimah Paturusi, Pengarah Hospital Kunak, Dr. Mohd Azmi Hamron, Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Tawau, Clarence Runggi, serta Ketua Bidang Perkhidmatan Terapi Cara Kerja Negeri Sabah merangkap Ketua Unit Terapi Cara Kerja Hospital Tawau, Norashima Stephenus @ Ibrahim.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan hospital, fasiliti terlibat, jawatankuasa pelaksana, penaja dan peserta atas sokongan dalam menjayakan program berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
