KOTA KINABALU: Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dipindahkan ke negara asal melalui laluan laut menerusi Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, menggunakan feri komersial8 dalam program pemindahan tahanan bagi tahun 2026.
Pemindahan itu dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dengan melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 96 orang merupakan lelaki dewasa, 30 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Kesemua mereka berumur antara satu hingga 70 tahun, manakala kanak-kanak yang terlibat diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Menurut hantaran di Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, operasi pemindahan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menguruskan tahanan warga asing yang layak dihantar pulang ke negara asal.
Sebelum ini, pada 12 Oktober 2026, Depot Imigresen Kota Kinabalu turut melaksanakan pemindahan 29 warga Filipina melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Manila, Filipina.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada 23 lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Pada tarikh yang sama, seramai tujuh warga China turut dipindahkan melalui penerbangan dari lapangan terbang berkenaan ke Guangzhou, China. Mereka terdiri daripada empat lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa.
Secara keseluruhan, seramai 5,951 tahanan PATI daripada pelbagai warganegara telah dipindahkan ke negara masing-masing setakat ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,769 orang merupakan warganegara Indonesia, diikuti Filipina seramai 4,003 orang, Pakistan (132), China (139), Vietnam (25) dan warga negara lain seramai 23 orang.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memaklumkan bahawa semua tahanan yang terlibat telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Mereka juga mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan proses pemindahan ke negara asal dilaksanakan.
Dalam pada itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan kepekaan terhadap keadaan persekitaran komuniti masing-masing serta tidak melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PATI turut digesa membuat laporan melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) menerusi https://eapp.imi.gov.my.
Usaha ini diharap dapat memperkukuh kerjasama masyarakat dengan pihak berkuasa dalam membendung kegiatan pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara. – DAKWAT RAKYAT POST
