Johor Bahru: Polis membongkar makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah sintetik berjumlah RM18.19 juta dalam serbuan di Masai dan Permas Jaya di sini, 1 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 17 hingga 22 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.
Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah kedai sebagai stor penyimpanan prekursor dan peralatan memproses dadah, manakala rumah teres dijadikan lokasi memproses dadah.
“Berdasarkan jumlah dan jenis peralatan yang ditemui, kita percaya makmal dadah haram ini masih dalam peringkat persediaan sebelum beroperasi sepenuhnya.
“Jika tidak dikesan lebih awal, makmal ini berpotensi menghasilkan dadah dalam kuantiti besar untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa, manakala polis masih mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit.
Katanya, pihaknya turut percaya individu yang mempunyai kepakaran kimia bagi memproses dadah berkenaan belum tiba ketika serbuan dilakukan.
Susulan tangkapan itu, katanya, polis merampas serbuk methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) 106.84 kilogram, cecair MDMA (14 liter), cecair ganja (23 liter), serbuk ekstasi (122.14 gram) dan pil eramin 5 (7.56 gram).
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif methamphetamine, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan pada 16 Oktober 2026
