TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes disyaki mencuri buah kelapa sawit di sebuah kawasan ladang di Kalabakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata lelaki berkenaan ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan kira-kira jam 11 pagi.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas 65 tandan buah kelapa sawit serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, kes itu terbongkar selepas seorang lelaki yang bertugas sebagai Biro Keselamatan Ladang membuat laporan polis selepas melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan muatan berhenti di kawasan ladang kira-kira jam 5.40 pagi.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki mendakwa diarahkan oleh individu lain untuk mengambil buah kelapa sawit berkenaan dengan bayaran upah sebanyak RM350 bagi setiap tan.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kalabakan menahan lelaki terbabit di hadapan balai berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Rosdi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil atau memindahkan hasil ladang tanpa kebenaran pemilik serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.-DAKWAT RAKYAT POST
