TAWAU: Seramai 69 keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Taman Fook Hwa, Lorong Mat Salleh, Batu 2, Jalan Apas di sini menerima sumbangan Perdana Menteri, bagi meringankan beban mangsa.
Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, hari ini.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan bagi membantu keluarga terjejas meringankan beban selepas kehilangan kediaman dalam kebakaran pada Jumaat lalu.
“Saya bagi pihak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat.
“Insya-Allah, banyak lagi sumbangan yang lain akan menyusul daripada NADMA dan pihak lain yang akan diuruskan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan itu.
Dalam pada itu, Mustapha mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan dapur dan peralatan elektrik bagi mengurangkan risiko kebakaran.
“Cuma saya ingin ingatkan kepada semua supaya dalam keadaan panas dan jerebu ini, mohon berhati-hati dalam mengurus kediaman masing-masing, terutama bahagian dapur dan juga peralatan elektrik kita.
“Jadi, mohon supaya kita dapat meminimumkan risiko kebakaran yang sering berlaku semasa cuaca panas ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pengurusan bencana ditingkatkan kepada RM260 juta menerusi belanjawan yang diumumkan baru-baru ini dilihat mampu membantu mangsa-mangsa bencana termasuk kebakaran.
“Bantuan pembaikan rumah juga ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 yang akan diuruskan oleh NADMA,” katanya.
Jumaat lalu, kebakaran berkenaan memusnahkan 16 rumah dengan jumlah terkini mangsa seramai 257 orang.-DAKWAT RAKYAT POST
