TAWAU: Dua lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk seorang penunggang motosikal yang didapati positif alkohol, dalam Operasi Motosikal di Batu 24, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu berlangsung dari jam 9 malam hingga 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi berkenaan bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta membanteras pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurutnya, sebanyak 10 saman dikeluarkan sepanjang operasi, membabitkan tujuh saman kepada penunggang motosikal dan tiga saman kepada pengguna motokar.
Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, kenderaan tanpa nombor pendaftaran, menunggang motosikal ketika berusia bawah 17 tahun, tidak memakai tali pinggang keledar dan pengubahsuaian ekzos.
“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap 60 kenderaan yang terdiri daripada 30 motosikal, 13 motokar, lima kenderaan pacuan empat roda, dua lori, lima van atau bas, sebuah teksi dan empat kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Dalam operasi sama, sebanyak 14 kenderaan disita, membabitkan 11 motosikal dan tiga motokar, atas pelbagai kesalahan yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal turut ditahan selepas ujian EBA II menunjukkan bacaan alkohol positif sebanyak 58 miligram bagi setiap 100 mililiter.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang lagi lelaki turut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) akta sama.
Beliau menegaskan polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengancam keselamatan diri serta pengguna lain.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang jalan raya, khususnya perbuatan memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol yang boleh mengancam nyawa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan lesen memandu masih sah, mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengubah suai kenderaan sehingga melanggar undang-undang.
Katanya, pengguna jalan raya perlu sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mempertaruhkan nyawa sendiri serta orang lain.-DAKWAT RAKYAT POST
