PENSIANGAN: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menyertai penduduk Kampung Mansiat dalam menjayakan Program Penghijauan Malaysia anjuran bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Perhutanan Sabah.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, program itu mencerminkan semangat gotong-royong serta kesedaran masyarakat setempat terhadap kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar.
Menurutnya, beliau bergegas pulang ke Sabah sejurus selesai menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya kelmarin bagi menyertai program berkenaan bersama komuniti Kampung Mansiat.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kementeriannya dalam memelihara biodiversiti hutan yang menjadi khazanah alam semula jadi negara.
Katanya, pemeliharaan ekosistem yang sihat amat penting bagi menjamin kualiti udara, kelestarian sumber air bersih serta kesejahteraan kehidupan masyarakat setempat.
“Usaha memulihara alam sekitar juga merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan khazanah semula jadi terus terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Arthur turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat, jawatankuasa penganjur dan penduduk Kampung Mansiat yang meluangkan masa serta tenaga bagi menjayakan program itu.
Beliau menyeru agar kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat terus diperkukuh bagi memastikan usaha memelihara alam semula jadi dapat dilaksanakan secara berterusan demi kepentingan generasi akan datang.-DAKWAT RAKYAT POST
