SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah terus memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta mengeratkan hubungan dengan penduduk menerusi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Pengarah APM Sabah, Mohd Yusoff Samad, berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperkasakan komuniti setempat, meningkatkan kemudahan kampung serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana.
Menurutnya, aktiviti gotong-royong bukan sahaja membantu menjaga kebersihan dan persekitaran kampung, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk pelbagai generasi.
Beliau berkata, program seumpama itu turut memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti terus terpelihara.
Program gotong-royong berkenaan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bokara, Sandakan, pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jarinah Sudin, serta Ketua Kampung Bokara, Nordin Abidin, turut hadir bersama penduduk bagi menjayakan aktiviti berkenaan.
Turut memberikan sokongan ialah pesara kerajaan, Muhd Jifri Ibrahim, dan pegawai perhubungan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Sapi, Azhar Santong.
Dalam program itu, sebuah mesin pemotong rumput turut diserahkan bagi membantu kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan perkuburan berkenaan.
Inisiatif itu diharap dapat menggalakkan penglibatan aktif penduduk dalam menjaga kemudahan awam serta memupuk semangat kerjasama demi kesejahteraan komuniti Kampung Bokara.-DAKWAT RAKYAT POST
