KOTA KINABALU: Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) merayu sokongan orang ramai bagi meneruskan bantuan rawatan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital selepas peruntukan penajaan rawatannya bagi 2026 habis digunakan seawal Ogos lalu.
Presidennya, Datuk Eva Susau berkata, keperluan rawatan pesakit semakin meningkat dan sumbangan orang ramai amat penting bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan rawatan segera tidak tercicir akibat kekangan kewangan keluarga.
Menurutnya, persatuan itu menaja rawatan lima pesakit dari Sabah di Kuala Lumpur antara Januari hingga September tahun ini, termasuk bayi berusia dua bulan dan 10 bulan serta seorang remaja berusia 17 tahun.
Kesemua pesakit menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), dengan mereka berasal dari Inanam, Semporna, Kinarut dan Keningau.
“Bagi kebanyakan keluarga, diagnosis penyakit jantung hanyalah permulaan kepada cabaran yang lebih besar. Rawatan pakar jauh dari tempat tinggal, manakala kos perjalanan, penginapan dan rawatan boleh meningkat dengan cepat.
“Sejak 1982, persatuan berusaha memastikan tiada kanak-kanak terlepas rawatan hanya kerana keluarga mereka tidak mampu menanggung kosnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua lima pesakit yang ditaja tahun ini menerima pembiayaan penuh dan kini dilaporkan sedang pulih dengan baik bersama keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, keperluan bantuan terus meningkat, sedangkan dana persatuan bagi tahun ini sudah digunakan sepenuhnya menjelang Ogos.
Menurut SOSHF, kira-kira seorang daripada setiap 100 bayi dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital, manakala kes baharu terus dirujuk kepada persatuan itu untuk mendapatkan bantuan.
Bagi meneruskan usaha berkenaan, SOSHF akan menganjurkan Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ulang Tahun Ke-45 pada 11 April 2027 di Sipadan Hall III, Aras 4, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Majlis yang dijadual berlangsung dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam itu bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman, sebagai tetamu kehormat.
Antara acara yang dijadualkan ialah persembahan artis tempatan, selain persembahan nyanyian dan piano oleh bekas pesakit yang pernah menerima bantuan SOSHF.
Eva berkata, setiap sumbangan berupaya membantu menyediakan peluang rawatan kepada kanak-kanak yang memerlukannya.
“Selama 45 tahun, persatuan bersama penderma yang prihatin membantu kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit jantung.
“Tahun ini, keperluan meningkat lebih pantas daripada dana yang tersedia dan peruntukan 2026 sudah habis digunakan. Setiap tiket, meja dan ringgit yang disumbangkan memberi peluang kepada seorang kanak-kanak untuk membesar dengan sihat.
“Kami mengajak semua pihak menyertai usaha ini dan menjadi Heart Hero,” katanya.
Tiket majlis makan malam itu kini ditawarkan pada harga RM250 bagi satu tempat duduk, manakala harga meja bermula RM2,500 hingga RM8,000.
Syarikat dan organisasi turut dialu-alukan menaja meja, selain orang ramai boleh menyalurkan sumbangan secara terus kepada persatuan.
Sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah, bernombor 5101 4311 2262.
Untuk pembelian tiket, penajaan meja atau maklumat lanjut mengenai sumbangan, orang ramai boleh menghubungi pejabat SOSHF menerusi talian 019-880 1270 atau e-mel sbhheartfund@gmail.com-DAKWAT RAKYAT POST
