RANAU: Seorang jururawat wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum terjunam kira-kira 30 meter ke dalam sungai di Kilometer 20, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Kampung Nalapak, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.58 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata siasatan awal mendapati mangsa memandu kenderaan jenis Isuzu D-Max dari arah Telupid sebelum dipercayai terbabas.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian melanggar penghadang di sebelah kiri jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai.
“Kenderaan mangsa dipercayai berada dalam keadaan terbalik sebelum penduduk kampung tampil memberikan bantuan.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Lohan kira-kira jam 2 petang,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menggerakkan tujuh anggota bersama dua jentera ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.
Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum memberikan rawatan awal dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
