TAWAU: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi dinaikinya terbabas sebelum merempuh pokok di Bulatan Airport Lama, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati sebuah Perodua Myvi terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok.
“Seorang mangsa perempuan dewasa didapati tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans KKM.
“Operasi menyelamat yang turut mendapat bantuan polis dan KKM itu ditamatkan pada jam 3.31 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
