BESUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan operasi pemindahan kecemasan perubatan (MEDEVAC) bagi membawa seorang pesakit kritikal dari Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil ke Jeti Pelancong Kuala Besut,semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata operasi itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai keperluan pemindahan segera pesakit berkenaan kira-kira jam 8.19 malam.
Menurutnya, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan kemudian berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu bagi menyelaraskan operasi berkenaan.
Pesakit dilaporkan mengalami jangkitan akut pada tekak yang disertai sepsis dan renjatan, iaitu keadaan serius yang memerlukan rawatan segera.
Katanya, pesakit diiringi doktor, jururawat serta suaminya sepanjang operasi pemindahan bagi memastikan perjalanan ke tanah besar berjalan lancar.
Pemindahan itu membolehkan pesakit dibawa ke Hospital Besut untuk menerima rawatan dan pemantauan lanjut dengan segera.
Menurut Hamiludin, operasi berkenaan mencerminkan peranan Maritim Malaysia yang bukan sahaja tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, malah turut membantu masyarakat yang berhadapan dengan kecemasan, khususnya penduduk serta pengunjung di kawasan pulau.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memberikan bantuan sewajarnya dalam situasi kecemasan di laut, termasuk pemindahan pesakit dari pulau ke tanah besar melalui kerjasama dengan agensi kesihatan dan pihak berkaitan.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya komuniti maritim dan pengunjung pulau, diseru menghubungi pihak berkuasa dengan segera sekiranya berlaku kecemasan di laut bagi membolehkan bantuan disalurkan secepat mungkin.-DAKWAT RAKYAT POST
