TAWAU: Pembinaan Residensi SMJ berkonsepkan kediaman berkelompok atau bertingkat dicadang sebagai pilihan bagi menyediakan rumah selesa dan selamat kepada rakyat Sabah yang memerlukan bantuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) , Datuk Lo Su Fui berkata, cadangan dengan konsep hampir sama seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) itu dapat memperluas manfaat Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, kesukaran mendapatkan tanah atau tapak kosong di kawasan bandar seperti daerah Tawau mendorong pendekatan baharu diambil bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk.
“Residensi SMJ ini merupakan satu cadangan baharu kerana kita mendapati, khususnya di bandar Tawau sukar mendapatkan tanah atau tapak kosong untuk membina Rumah SMJ.
“Jadi, sebaiknya ada pilihan lain di kawasan bandar sama ada pembinaan secara berkelompok atau bertingkat supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Gemilang Jalan Sin Onn dan Taman Fook Hwa Batu 2, Jalan Apas, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau, kerjasama kerajaan negeri dengan agensi berkaitan digerakkan bagi mengenal pasti lokasi bersesuaian.
Katanya, penempatan lebih teratur juga diharap dapat menangani masalah rumah yang dibina terlalu rapat sehingga menyebabkan api cepat merebak apabila berlaku bencana kebakaran.
“Kerajaan negeri bersama Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Tanah dan Ukur dan pihak berkaitan akan kenal pasti kawasan dan mengambil kira penyediaan bekalan air, elektrik serta sistem perparitan.
“Bukan sahaja rumah yang perlu diberikan perhatian, tetapi juga peluang pekerjaan mereka. Kita tidak boleh menempatkan mereka di lokasi yang kurang peluang pekerjaan kerana mereka juga perlu mencari rezeki,” katanya.
16 Oktober lalu, 16 rumah membabitkan 257 mangsa hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Taman Fook Hwa, Lorong Mat Salleh, Batu 2 Jalan Apas, musnah dalam kebakaran.
Sementara itu, 30 lagi mangsa membabitkan lima rumah di Taman Gemilang, Jalan Sin Onn, turut musnah dalam kebakaran, 5 Oktober lalu.-DAKWAT RAKYAT POST
