LAHAD DATU: Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) mencipta sejarah tersendiri apabila menganjurkan penanaman serentak 1,000 anak benih kelapa dalam usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) 2026 bagi kategori Most Coconut Tree Seedlings Planted in an Event.
Program yang berlangsung di tiga tapak tanaman KVLD bermula jam 8 pagi itu disempurnakan Ketua Eksekutif Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan.
Acara berkenaan menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 1,100 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, tenaga pengajar, pelajar KVLD dan ibu bapa.
Turut hadir Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul serta wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Segama dan DUN Tungku, selain Pengarah KVLD, Ahmad Fakhrurazi Haji Hamzah.
Dalam ucapannya, Hashim menyifatkan program itu sebagai detik bersejarah kerana usaha menanam 1,000 anak benih kelapa secara serentak dalam satu acara dilaksanakan bagi mencipta rekod di Malaysia.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyokong usaha penghijauan alam sekitar, malah berpotensi memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan pertanian, khususnya dalam kalangan institusi pendidikan berkemahiran.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran pengeluaran 100 biji kelapa bagi setiap pokok setahun, keseluruhan 1,000 pokok itu berpotensi menghasilkan kira-kira 100,000 biji kelapa setahun apabila mencapai tahap pengeluaran optimum.
Katanya, berdasarkan potensi pengeluaran tersebut, KVLD dianggarkan mampu menjana pendapatan sehingga RM200,000 setahun, sekali gus membuktikan sektor pertanian berupaya menjadi sumber ekonomi berterusan.
Sementara itu, Firuz merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau turut berharap penduduk Lahad Datu mengambil peluang daripada inisiatif itu dengan mengusahakan tanaman kelapa sebagai salah satu sumber pendapatan tambahan, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk menceburi sektor pertanian secara lebih serius.
Menurutnya, usaha menanam kelapa bukan sahaja berpotensi memberikan pulangan ekonomi dalam jangka panjang, malah dapat menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah yang tersedia untuk aktiviti pertanian yang produktif.
Program yang berakhir pada jam 9.30 pagi itu turut memperlihatkan kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam menjayakan agenda penghijauan serta pembangunan pertanian yang berorientasikan pendidikan dan ekonomi.-DAKWAT RAKYAT POST
