KOTA KINABALU: Penggiat seni dan kreatif di Sabah diseru memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan ekonomi kreatif yang berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan, khususnya kepada golongan belia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan berkata, industri budaya dan kreatif mempunyai potensi besar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negeri.
Katanya, potensi itu boleh diteroka melalui pelbagai bidang termasuk penghasilan karya, kandungan kreatif, inovasi digital, seni persembahan, perfileman, muzik dan pembangunan harta intelek.
Beliau berkata, industri budaya dan kreatif Malaysia menyumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara pada 2024, bersamaan 6.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala eksport produk kreatif mencecah RM63 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, angka itu menunjukkan ekonomi kreatif bukan sekadar berkaitan seni dan hiburan, sebaliknya mampu menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan serta membuka peluang pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pembangunannya memerlukan perancangan tersusun dan kerjasama kerajaan, persatuan, penggiat serta pihak swasta.
“Pandangan penggiat penting untuk memahami keperluan sebenar sektor ini dan mengenal pasti ruang bagi bakat serta karya anak Sabah berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), diketuai pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Wisma MUIS, di sini, semalam.
Dalam pertemuan itu, KREATIF SABAH mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif negeri, termasuk penubuhan Hab Kreatif Tawau atau Tawau C-Hub serta penganjuran Townhall Penggiat Seni dan Kreatif Sabah.
Tawau C-Hub dicadangkan sebagai pusat yang menyediakan ruang untuk penghasilan karya, pembangunan bakat, latihan, kerjasama, keusahawanan dan pemasaran produk kreatif.
Townhall pula dicadangkan sebagai platform menghimpunkan penggiat industri dan pihak berkepentingan bagi membincangkan cabaran, keperluan serta peluang pembangunan sektor seni dan kreatif di Sabah.
Chester turut membentangkan Memorandum Cadangan Tujuh Perkara Kreatif Sabah yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Pertama KREATIF SABAH, Julai lalu.
Antara perkara yang diketengahkan ialah memperkukuh penyelarasan pentadbiran ekonomi kreatif di bawah satu kementerian, mewujudkan hab kreatif atau pusat sehenti serta mengutamakan penglibatan artis dan penggiat kreatif tempatan dalam program rasmi kerajaan negeri.
Memorandum itu turut mencadangkan supaya penggiat industri dilibatkan dalam penggubalan dasar berkaitan, selain memperkemas penguatkuasaan permit bagi melindungi kepentingan seniman dan karyawan tempatan serta memelihara khazanah seni dan kreatif Sabah.
Nizam berkata, cadangan berkenaan boleh diteliti dalam perancangan pembangunan ekonomi kreatif negeri, dengan aspek penyelarasan diperhalusi berdasarkan fungsi dan bidang kuasa agensi berkaitan.
Katanya, pembangunan portfolio Ekonomi Kreatif juga memerlukan penelitian dari segi keutamaan program, peruntukan dan kaedah pelaksanaan.
“Sebarang cadangan perlu diteliti berdasarkan kesesuaian, keutamaan semasa, kemampuan kewangan dan proses kelulusan berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nizam turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian belia Sabah, termasuk atlet Muay Thai, Emmabell Cassandra, yang menjuarai kategori wanita dalam pertandingan Byon Combat Showbiz 7.
Menurutnya, kejayaan itu memperlihatkan potensi anak muda Sabah untuk berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk pembinaan jenama peribadi dan penghasilan kandungan digital yang mampu membuka peluang ekonomi baharu.
Beliau berkata, dengan bimbingan, sokongan dan ekosistem yang sesuai, bakat dalam bidang seni, sukan serta kandungan digital berpotensi dikembangkan menjadi kerjaya yang berdaya maju dan menyumbang kepada ekonomi negeri.-DAKWAT RAKYAT POST
