KOTA KINABALU: Maxim Malaysia menyalurkan pek makanan dan barangan keperluan asas kepada 200 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Bantuan itu merangkumi pelbagai barangan keperluan harian seperti sardin dan ayam dalam tin, mi segera, barangan kebersihan diri, sabun pencuci pakaian, kek cawan serta minuman coklat dan bijirin termasuk Milo dan Nestum.
Pemangku Jabatan Kebajikan Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar UMS sesi 2025/2026, Mohamad Furkhan Abdullah berkata, sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan sebahagian beban kewangan yang ditanggung pelajar.
“Bantuan seperti ini secara langsung dapat meringankan sebahagian beban kewangan pelajar yang perlu mengimbangi pengajian dengan perbelanjaan sara hidup.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan menarik lebih banyak organisasi untuk bersama-sama menyokong kebajikan pelajar,” katanya.
Kerjasama antara Maxim dan UMS itu bukan yang pertama apabila syarikat berkenaan sebelum ini turut menganjurkan sesi ceramah kesedaran keselamatan jalan raya serta menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar universiti berkenaan.
Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pelajar dalam meneruskan pengajian ketika berdepan kekangan kewangan.
“Para pelajar universiti sedang membina masa depan mereka, namun kesukaran kewangan kadangkala menjadikan perjalanan tersebut lebih mencabar.
“Kami berharap bantuan ini dapat mengingatkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan UMS amat penting kepada pihaknya dan Maxim berhasrat meneruskan pelbagai inisiatif bersama demi menjaga kebajikan pelajar.
Menurutnya, Maxim akan terus memperkukuh kerjasama dengan universiti serta komuniti setempat menerusi program yang memberi tumpuan kepada keselamatan jalan raya, sokongan sosial dan pembangunan inklusif.
Untuk rekod, Maxim mula beroperasi di Malaysia pada 2019 dan kini menyediakan perkhidmatan di semua negeri di negara ini, merangkumi tempahan pengangkutan, penghantaran serta pelbagai perkhidmatan lain melalui platform digitalnya.-DAKWAT RAKYAT POST
