KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di perairan Kudat yang merangkumi Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, terus diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.
“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respons yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, keselamatan merupakan asas penting bagi menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik keutamaan aspek keselamatan dan pertahanan yang digariskan di bawah Belanjawan 2027, khususnya usaha memperkukuh kawalan sempadan.
Dalam perkembangan lain, Hajiji meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di Sabah, terutama berhampiran sempadan Indonesia.
Katanya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani secara berkesan.
“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan yang terletak berhampiran kawasan sempadan Indonesia.
“Sehubungan itu, saya meminta agensi-agensi berkaitan untuk sentiasa menyelaraskan perkongsian maklumat berhubung kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan situasi jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang semakin dinamik, termasuk kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.
Beliau merujuk situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berkaitan pengurusan isu jerebu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, perkembangan berkenaan perlu dijadikan peringatan bahawa isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.
Beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial, bagi mengenal pasti perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat di Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
