KOTA KINABALU: Sebanyak 429 ikhtiar sara hidup merangkumi 35 strategi digariskan menerusi Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh dan bersepadu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan lima tahun itu menjadi kerangka nasional untuk memandu pelaksanaan dasar, program dan inisiatif berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian serta agensi kerajaan.
Beliau berkata, NCLAP30 memberi tumpuan kepada dua keutamaan utama iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas.
“Visi pelan ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran NCLAP30, hari ini.
Pelan berkenaan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Program Sentuhan Kasih MADANI di Pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, pada Sabtu.
Armizan berkata, pelaksanaan NCLAP30 merangkumi lapan kluster strategik iaitu pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum.
Katanya, 429 ikhtiar yang digariskan meliputi penerusan serta penambahbaikan inisiatif sedia ada, selain pengenalan program baharu melalui kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan rakan strategik.
Menurutnya, pelan itu turut dibangunkan selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI dan menjadi antara strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Sebagai dokumen dinamik, NCLAP30 akan sentiasa ditambah baik melalui pengukuhan strategi dan pengenalan pelbagai program dari semasa ke semasa supaya kekal relevan dengan perubahan sosioekonomi, keperluan rakyat serta cabaran domestik dan global,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan diperkasakan bagi memastikan pelaksanaan pelan berkenaan berjalan secara menyeluruh dan bersepadu.
Katanya, keputusan memperkasakan peranan NACCOL dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 2/2026 pada 29 September lalu, termasuk memantau dan meneliti pelaksanaan semua program serta inisiatif berkaitan kos sara hidup oleh kementerian dan agensi.
Langkah itu bertujuan memastikan setiap inisiatif mencapai hasil optimum dan memberi manfaat kepada rakyat.
Sehubungan itu, Armizan menggalakkan orang ramai merujuk NCLAP30 bagi memahami dengan lebih terperinci hala tuju pengurusan kos sara hidup negara serta usaha kerajaan menangani isu berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan pelan itu memerlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak melalui pendekatan whole-of-nation bagi memastikan agenda menangani kos sara hidup dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.-DAKWAT RAKYAT POST
