MUKAH: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk mencederakan dan membunuh suami seorang wanita dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Ulu Tiris 2, Kilometer 46, Jalan Selangau-Mukah, di sini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 23 Oktober lalu, membabitkan seorang wanita berusia 31 tahun.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, suspek dipercayai datang dalam keadaan mabuk sebelum bertanyakan mengenai individu yang didakwanya mahu membuangnya daripada pekerjaan.
Suspek kemudian disyaki mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mencederakan dan membunuh suami pengadu, selain mengancam keselamatan keluarga wanita berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek dan suami pengadu mempunyai hubungan kekeluargaan serta bekerja sebagai pemotong rumput secara kontrak.
“Suspek dipercayai sudah lama tidak hadir bekerja dan beranggapan dirinya telah dibuang kerja,” katanya dalam kenyataan media.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berjaya menahan suspek pada hari yang sama.
Ketika ditahan, suspek dipercayai masih berada dalam keadaan mabuk.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Permohonan reman terhadap suspek turut diluluskan Mahkamah Majistret Mukah selama empat hari sehingga 28 Oktober ini bagi membolehkan siasatan dilengkapkan.
Polis Daerah Mukah menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan ugutan atau mengancam keselamatan orang awam.-DAKWAT RAKYAT POST
