KOTA KINABALU: Kontraktor tiga pakej kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di jajaran Putatan-Penampang-Inanam-Sepanggar-Tuaran, di sini diarah menyiapkan projek masing-masing sebelum akhir tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata penyiapan itu penting bagi menyuraikan trafik di laluan sedia ada yang ketika ini berdepan masalah kesesakan berikutan sering rosak.
Beliau berkata, tiga pakej kerja terbabit iaitu pakej kerja enam, tujuh dan lapan sudah hampir siap, namun belum dibuka sepenuhnya berikutan ada beberapa laluan masih dalam pembinaan.
“Saya sendiri minta supaya kerja pembinaan di jajaran berkenaan disiapkan hujung tahun ini, hujung tahun ini kena siap. Kalau laluan Pan Borneo ini siap, aliran trafik dapat disuraikan.
“Maknanya, kenderaan yang tidak singgah di Kota Kinabalu, iaitu mereka yang menuju terus ke Beaufort, Papar, boleh guna laluan ini.
“Setakat ini, saya dimaklumkan kerja pembinaan sudah 95 peratus siap, hanya ada beberapa bahagian lagi yang belum siap. Kita akan pantau dan pastikan ia siap hujung tahun ini,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan program Madani Kita @ Sepanggar di Manggatal, dekat sini, hari ini.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar ditanya langkah pihaknya dalam memastikan kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya yang melalui kawasan Parlimen Sepanggar ditangani segera.
Pakej kerja enam, tujuh dan lapan yang bermula dari Putatan ke Penampang, Inanam, Sepanggar dan Tuaran adalah antara 35 pakej dalam projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini menyatakan daripada 35 pakej itu hanya empat pakej atau 11.4 peratus yang siap sepenuhnya, manakala selebihnya belum siap sejak dimulakan kira-kira 10 tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, bagaimanapun berkata angka itu berbeza dengan kemajuan fizikal Fasa 1A yang mencapai 89.54 peratus setakat 25 September lalu.
Mustapha mengakui, tiga pakej kerja yang disasar untuk menyuraikan aliran trafik di kawasan bandar raya Kota Kinabalu itu adalah antara pakej yang mengalami kelewatan dan dianggap kritikal berikutan membabitkan laluan di kawasan bandar.
“Jadi kita berharap jajaran Lebuhraya Pan Borneo ini disiapkan pada akhir tahun ini supaya kita dapat melegakan kesesakan trafik di laluan sedia ada sekarang,” katanya.
Mengulas kesesakan lalu lintas di Sepanggar, khususnya sebelum memasuki jajaran Lebuhraya Pan Borneo dekat Kampung Tebobon, di sini, Mustapha berkata masalah berpunca daripada penumpuan trafik di laluan sedia ada yang turut menjadi laluan kenderaan berat.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan beberapa laluan sering mengalami kerosakan, terutama ketika hujan dan kerosakan masih berulang walaupun sudah dibaiki berikutan struktur jalan yang lemah.
“Kerosakan jalan memang dibaiki, cuma sekarang ini isunya ia tidak dapat bertahan, sebab menjadi laluan harian. Tapi, kita sudah minta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor untuk memastikan jalan ini dapat dilalui dengan selamat oleh pengguna jalan raya,” katanya.
Mengenai Program Madani Kita @ Sepanggar, Mustapha berkata, program itu dikendalikan Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah dengan penyertaan kira-kira 80 peratus golongan belia.
Selain pameran daripada 23 agensi kerajaan, program itu juga dimeriahkan dengan acara larian Kokol Ultra 2026 dengan jarak larian hingga 70 kilometer.
Pada majlis sama, Mustapha turut menyampaikan bakul makanan kepada penerima bantuan dari golongan kurang berkemampuan dari sekitar Parlimen Sepanggar.
Kredit sumber: Berita Harian
