KOTA KINABALU: Sabah berharap dapat memperkukuh kerjasama dua hala dengan Itali menerusi penerokaan peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas, pelancongan serta pendidikan tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mengalu-alukan minat kerajaan dan komuniti perniagaan Itali untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan di negeri ini.
“Kita mengalu-alukan minat kerajaan dan komuniti perniagaan Itali untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Langella berkata, Itali melihat Sabah mempunyai potensi besar untuk diteroka, namun memerlukan sokongan dalam mengenal pasti peluang pelaburan yang sesuai.
“Minat dalam kalangan pihak di Itali amat besar. Mereka mengetahui terdapat banyak peluang yang boleh diteroka di Sabah.
“Namun, mereka memerlukan bantuan, mungkin dari segi mengenal pasti peluang pelaburan. Oleh itu, saya telah berbincang dengan Ketua Menteri mengenai cara untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata, Itali turut berminat membantu mempromosikan Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Langella berkata, kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi turut menjadi antara bidang yang berpotensi untuk diperluas, khususnya melalui hubungan antara universiti di kedua-dua pihak.
“Kerjasama antara universiti merupakan bidang yang sangat menarik dan berpotensi besar.
“Universiti-universiti di Itali kini semakin berdaya saing dan amat berminat untuk mengembangkan aktiviti mereka di rantau ini, khususnya di Sabah,” katanya.
Beliau berharap pertemuan itu dapat membuka ruang kepada hubungan lebih erat antara Sabah dan Itali serta menghasilkan kerjasama yang bermakna pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.-DAKWAT RAKYAT POST
