Kuala Lumpur: Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula Selasa ini dan akan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata ketika monsun berkenaan, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah timur laut.
“Ketika fasa awal MTL dari November ini hingga Januari 2027, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku. Ia boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.
“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hisham berkata, menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac tahun depan, taburan hujan juga dijangka berkurangan, terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung dan Sabah.
Katanya, keadaan itu akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat yang sedang berlaku.
“Orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca yang berlaku semasa MTL 2026/2027.
“Sentiasa peka kepada maklumat, nasihat ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca media sosial rasmi serta talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan pada 25 Oktober 2026
