KOTA KINABALU: Pembangkang perlu menjelaskan keputusan kerajaan negeri pada 2019 yang mengesyorkan penamatan model Project Delivery Partner (PDP) bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, susulan kelewatan pelaksanaan projek berkenaan hingga kini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pembangkang tidak sepatutnya hanya mempersoalkan kemajuan projek di Sabah berbanding Sarawak, sebaliknya perlu melihat kembali keputusan terdahulu yang memberi kesan kepada pelaksanaannya.
Beliau berkata, meskipun model PDP ditamatkan di kedua-dua negeri, Sarawak menunjukkan kemajuan lebih baik berbanding Sabah yang masih berdepan pelbagai kelewatan.
“Persoalannya, bukankah mereka perlu mendapatkan penjelasan daripada bekas Ketua Menteri yang kerajaan pimpinannya pada 2019 mengesyorkan penamatan PDP Pan Borneo Sabah.
“Mereka juga perlu menjelaskan mengapa keputusan itu dibuat tanpa memastikan peralihan kepada kaedah pelaksanaan baharu berjalan lancar sehingga projek tergendala dan proses pelantikan kontraktor baharu mengambil masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata, usaha memulihkan pelaksanaan projek itu dipergiatkan pada 2021 menerusi kerjasama kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan kerajaan Persekutuan.
Katanya, kontraktor bagi 15 pakej Fasa 1A dilantik, selain kerajaan negeri meneruskan urusan pengambilan tanah dan penyelarasan mengikut bidang kuasanya.
“Usaha itu diteruskan apabila 13 kontraktor Fasa 1B menerima Surat Setuju Terima (SST) pada 4 Oktober 2024,” katanya.
Menurutnya, pelantikan kontraktor bagi baki pakej Fasa 1B, termasuk WP09, diteruskan secara berperingkat sehingga Januari 2026 bagi memastikan semua pakej dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan prestasi kontraktor perlu ditangani segera bagi mengelakkan kelewatan berterusan.
Katanya, mesyuarat penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi utiliti serta kontraktor perlu menghasilkan keputusan konkrit dan tindakan susulan pantas.
“Prestasi setiap kontraktor juga perlu dipantau secara konsisten supaya sebarang kelewatan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan berkesan.
“Keputusan terdahulu perlu dipertanggungjawabkan, manakala kelemahan pelaksanaan semasa mesti diperbetulkan melalui tindakan tegas dan kemajuan yang nyata di lapangan.
“Rakyat Sabah berhak melihat projek ini disiapkan mengikut sasaran demi kepentingan dan kesejahteraan bersama,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
