JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan polis kerana disyaki menjadi dalang sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along yang dipercayai terbabit dalam 16 kes ugutan jenayah dan khianat menggunakan cat serta api di sekitar Johor Bahru dan Kluang.
Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ab Rahaman bin Arsad berkata, suspek ditahan di sekitar Johor Bahru pada Oktober 2026, sekali gus membantu polis menyelesaikan 16 kes berkenaan.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek dipercayai mula aktif sejak September lalu dengan modus operandi menyimbah cat, menggunakan api serta menampal notis ugutan di rumah mangsa.
Suspek dipercayai menerima upah antara RM200 hingga RM400 bagi setiap perbuatan khianat yang dilakukan.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas dua buah motosikal, sebuah topi keledar, tiga nota ugutan, sebuah telefon bimbit, sebatang tukul besi, sepasang pakaian, sepasang selipar hitam dan sebuah pemetik api jenama Cricket yang dipercayai digunakan suspek.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan positif dadah jenis amphetamine.
Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 28 Oktober 2026 bagi membantu siasatan.
Menurut Ab Rahaman, sebanyak 16 kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Daripada jumlah itu, arahan pertuduhan merangkumi dua pertuduhan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 435, 11 pertuduhan mengikut Seksyen 427, tiga pertuduhan mengikut Seksyen 426, lapan pertuduhan mengikut Seksyen 507 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Suspek dijadualkan dituduh di Mahkamah Johor Bahru pada 28 Oktober 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis berjaya menumpaskan 135 kumpulan yang terbabit dalam kegiatan khianat di seluruh Johor dari 2023 hingga September 2026, manakala seramai 214 ahli kumpulan telah dituduh di mahkamah.
Beliau menegaskan Polis Kontinjen Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket along diminta menyalurkannya melalui Hotline Polis Johor di talian 019-279 2095 atau Bilik Gerakan di talian 07-221 2999.-DAKWAT RAKYAT POST
