JOHOR BAHRU: Seramai 108 tahanan warga asing daripada lima negara dipindahkan ke negara asal masing-masing sepanjang minggu ketiga Oktober ini menerusi Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, pemindahan itu membabitkan 50 warga Indonesia, 49 warga Myanmar, lima warga Nepal, tiga warga Vietnam dan seorang warga Kemboja.
Urusan penghantaran pulang berkenaan dilaksanakan melalui beberapa pintu keluar utama negara, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 serta Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.
Menurut kenyataan itu, pemindahan dilaksanakan selepas tahanan terbabit selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, semua tahanan yang dipindahkan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia serta dilarang memasuki semula negara sepanjang tempoh larangan yang ditetapkan.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan pemindahan tahanan dilaksanakan secara cekap, sistematik dan berintegriti, selaras dengan undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, sebarang urusan berkaitan penghantaran pulang tahanan, termasuk pembelian tiket perjalanan, boleh dilakukan secara terus melalui Kaunter Perkhidmatan di Depot Imigresen Pekan Nenas.
Tiada caj perkhidmatan dikenakan bagi urusan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
