TAWAU: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa rakan baiknya, Ogos lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Risna, 26, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam di Batu 16, Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 3 petang, 26 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta maksimum RM15,000.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminjam kereta rakannya untuk perjalanan dari daerah Semporna menuju ke Tawau bersama Nur Diana Watih, 24, yang duduk di kerusi penumpang hadapan.
Ketika melalui jalan lurus di lokasi kejadian, tertuduh memandu laju sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah jalan.
Kereta itu kemudian melanggar pokok dan tembok tanah sebelum terbalik di tepi kiri jalan.
Akibat kemalangan itu, Nur Diana yang juga rakan baik tertuduh, parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau, jam 9.30 malam pada hari sama.
Sementara tertuduh mengalami kecederaan tidak serius dan dibenarkan keluar dari hospital keesokan harinya.
Terdahulu dalam hujahan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan kematian mangsa yang meninggalkan seorang anak berusia dua tahun lima bulan ketika kejadian.
Pihak pendakwa turut menegaskan hukuman perlu memberikan mesej jelas kepada masyarakat berhubung pemanduan berbahaya dan melulu yang mengakibatkan kemalangan tragis serta kematian.
Peguam tertuduh, Jhasarry P Kang kemudian dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan.
Tertuduh yang juga suri rumah turut insaf dengan perbuatannya dan tidak akan mengulangi perbuatannya.-DAKWAT RAKYAT POST
