KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Sabah meneliti keberkesanan pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada penerima tanpa akaun bank di kawasan pedalaman bagi memastikan penyaluran bantuan kerajaan dapat ditambah baik.
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Ag Norali Ag Damit berkata, sesi libat urus pasca pelaksanaan program itu bertujuan mengenal pasti cabaran serta ruang penambahbaikan bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak.
Menurut beliau, aspek penunaian STR perlu diteliti bagi memastikan proses penyampaian bantuan dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur, khususnya bagi penduduk pedalaman yang berdepan kekangan akses kepada perkhidmatan perbankan.
Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus pasca pelaksanaan dan penambahbaikan Program Penunaian STR bagi tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Semporna, Menara LHDN Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Sesi berkenaan turut memberi ruang untuk menilai pelaksanaan program serta mengenal pasti langkah penambahbaikan bagi memperkukuh mekanisme penyaluran bantuan kepada kumpulan sasar.
Usaha itu diharap dapat memastikan penerima STR yang layak, terutama mereka yang tidak mempunyai akaun bank di kawasan pedalaman Sabah, tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.-DAKWAT RAKYAT POST
