LABUAN: Orang ramai di Wilayah Persekutuan Labuan dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah sepanjang tiga hari bermula hari ini hingga Rabu.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penerbangan pada altitud rendah itu adalah sebahagian daripada latihan keupayaan yang dilaksanakan di ruang udara Labuan dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Latihan berkenaan dijadual berlangsung antara jam 4 hingga 5 petang setiap hari.
Menurut kenyataan itu, latihan membabitkan beberapa aset TUDM termasuk pesawat pejuang, pesawat angkut dan helikopter.
Latihan berkenaan bertujuan menilai tahap kesiagaan serta keberkesanan penugasan operasi TUDM.
“Sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah.
“Sehubungan itu, orang ramai di sekitar Labuan dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas sekiranya melihat pesawat terbang rendah sepanjang latihan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
TUDM berkata, latihan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kesiapsiagaan aset dan keupayaan operasi berada pada tahap optimum.-DAKWAT RAKYAT POST
