PETALING JAYA – Kumpulan pertama pesawat pejuang FA-50M yang sedang dalam perjalanan ke Malaysia menarik perhatian pengguna media sosial yang rata-rata menzahirkan ucapan tahniah kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menerusi perkongsian Facebook Perwira Combat Media, perkembangan itu mendapat reaksi positif orang ramai yang berharap pesawat berkenaan dapat memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Seorang pengguna, Arif Widiyanto mengucapkan tahniah kepada TUDM sambil menyifatkan kehadiran pesawat baharu itu sebagai perkembangan positif bagi menggantikan pesawat Hawk yang semakin berusia.
“Syabas TUDM. Akhirnya, pesawat baharu tiba bagi menggantikan pesawat Hawk yang semakin berusia.
“Walaupun usaha selama sedekad untuk mendapatkan pesawat pejuang pelbagai peranan dua enjin akhirnya memilih pesawat tempur ringan, FA-50M Blok 20 yang dilengkapi radar AESA PhantomStrike dan pod Sniper merupakan platform ringan yang sangat baik.
“Tidak sabar melihat pesawat ini meronda Selat Melaka bersama-sama F-16, Sukhoi, Rafale milik Tentera Udara Indonesia serta pesawat KAAN dan KF-21 yang bakal diperoleh,” komennya.
Sementara itu, Mohd Izzad turut menyambut ketibaan pesawat berkenaan dengan menulis, ‘Selamat pulang’.
Pengguna Facebook, Sawit Hunter pula mendoakan agar perjalanan pesawat itu berjalan lancar dan selamat.
“Tahniah, semoga perjalanan dalam keadaan selamat dan dipermudahkan. Dari Lapangan Terbang Incheon ke Kota Kinabalu, Sabah mengambil masa lebih lima jam,” tulisnya.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia dijadual menerima dua pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan pada Jumaat ini sebagai sebahagian daripada perolehan 18 pesawat berkenaan yang bernilai hampir RM4 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerimaan pesawat itu akan memperkukuh keupayaan tempur udara Angkatan Tentera.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE – Disiarkan pada 28 Oktober 2026
