TAWAU: Perbicaraan kes saman RM190 juta yang difailkan bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama lima anggotanya dan satu orang awam di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, akan disambung esok selepas plaintif pertama kelihatan kurang sihat ketika memberikan keterangan.
Datuk Mat Zaki Md Zain, 62, turut kelihatan letih di kandang saksi ketika menjalani pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC) , Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membuat keputusan itu selepas peguam, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon memohon agar anak guamnya dibenarkan berehat.
Sharatha turut memaklumkan bahawa anak guamnya itu perlu menjalani hemodialisis pada hari esok disalah sebuah pusat perubatan swasta di daerah ini dan dijangka tidak dapat meneruskan prosiding perbicaraan.
Mahkamah kemudian membenarkan Mat Zaki, yang merupakan saksi plaintif ke-11 dilepaskan sementara untuk dipanggil semula bagi menyambung keterangannya.
Terdahulu, beliau disoal berhubung beberapa komponen tuntutan ganti ruginya, termasuk kerugian perniagaan, alibi, perbelanjaan perubatan, termasuk kesan penahanan terhadap kehidupan dan reputasinya.
Prosiding bersambung semula jam 9 pagi esok dengan pihak plaintif dibenarkan memanggil saksi berikutnya iaitu Dennis Anak Enit (plaintif ketiga).-DAKWAT RAKYAT POST
