LAHAD DATU: Tiga daripada enam suspek yang terlibat dalam insiden rusuhan di sebuah restoran, di daerah ini pada 24 Oktober lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kejadian berkenaan.
Salah seorang suspek dalam kejadian tersebut telah dituduh dibawah Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (Bab 80) kerana berkelakuan mengancam dengan meninggikan suara dan bergaduh mulut terhadap seorang pekerja wanita restoran tersebut sehingga menimbulkan rasa takut kepada wanita terbabit.
Manakala dua lagi suspek lelaki telah dituduh dibawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian pada 24 Oktober lepas tular sekumpulan individu melakukan rusuhan di sebuah restoran di pusat bandar Lahad Datu hingga menyebabkan kecederaan.
Susulan kejadian itu pasukan Polis dari Ibu pejabat daerah Lahad Datu membuat tangkapan terhadap enam individu antara sebahagian daripada suspek yang terlibat dalam kejadian itu.- DAKWAT RAKYAT POST
