JAKARTA: Indonesia perlu bertindak balas terhadap kritikan negara jiran berhubung jerebu rentas sempadan menerusi tindakan yang meyakinkan termasuk pencegahan lebih kukuh, penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan alam sekitar.
Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI), Sufmi Dasco Ahmad, berkata Indonesia sudah mendengar kebimbangan, kritikan dan saranan daripada Malaysia dan Singapura, termasuk pandangan yang dinyatakan di Parlimen masing-masing.
“Kita harus menghargai pandangan ini, walaupun kita mungkin tidak semestinya bersetuju dengan setiap penilaian. Apa yang paling penting ialah melindungi komuniti yang terjejas, mengukuhkan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang, memulihkan alam sekitar dan memastikan akauntabiliti korporat, termasuk dalam kalangan perniagaan yang mempunyai operasi rentas sempadan.
“Kritikan tidak seharusnya dibalas dengan kemarahan. Ia perlu ditangani menerusi tindakan yang boleh dinilai,” katanya dalam video oleh DPR RI, hari ini sempena Ulang Tahun ke-98 Sumpah Pemuda Indonesia.
Sufmi turut menggesa kerjasama lebih erat dalam kalangan Parlimen ASEAN melangkaui masa krisis, khususnya dalam pencegahan bencana, keselamatan siber, keselamatan makanan dan tenaga, serta menyelesaikan isu rentas sempadan.
“Kita tidak boleh memilih jiran kita tetapi kita boleh memilih bagaimana kita hidup bersama mereka, menghormati antara satu sama lain, bercakap terus terang dan mencari penyelesaian bersama,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran hutan dan tanah, jerebu rentas sempadan, banjir, cuaca ekstrem dan ancaman terhadap keselamatan makanan menunjukkan bagaimana keselamatan awam dan keselamatan negara semakin saling berkaitan.
Beliau juga memetik perkembangan di Laut China Selatan, keselamatan maritim, jenayah rentas sempadan dan ancaman siber sebagai cabaran yang menguji daya tahan ASEAN, sambil menegaskan komitmen Indonesia terhadap dasar luar yang bebas dan aktif yang menjaga kedaulatan dan mengekalkan keamanan.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian
