KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan pembatalan tender projek Jalan Luar Bandar (JALB) di negeri ini bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk luar bandar.
Desakan itu disuarakan dalam sidang media diketuai Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, yang turut meminta kerajaan menyalurkan baki peruntukan bagi memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan yang terjejas akibat tunggakan bayaran.
Menurut Ewon, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara berdepan tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta bayaran pampasan tanah, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM259.503 juta.
Katanya, Sabah mencatatkan tunggakan tertinggi, iaitu RM118.84 juta membabitkan 35 projek.
“Walaupun Kementerian Kewangan mengumumkan suntikan tambahan, ia masih gagal menutup jurang tunggakan sedia ada yang amat kritikal,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut menyaksikan pelaksanaan dua langkah yang memberi kesan kepada projek JALB, iaitu pembatalan proses tender berskala besar dan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).
Menurutnya, pembatalan proses tender melibatkan 40 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan keseluruhan RM5.144 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 13 projek JALB di Sabah terjejas dengan nilai peruntukan berjumlah RM1.716 bilion.
Selain itu, penangguhan pengeluaran SST membabitkan 87 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan RM8.096 bilion.
Ewon berkata, langkah berkenaan turut memberi kesan kepada tujuh projek JALB di Sabah yang melibatkan peruntukan sebanyak RM548.85 juta.
Beliau menegaskan, isu berkenaan perlu ditangani segera bagi mengelakkan rakyat luar bandar terus menanggung kesan akibat kelewatan atau pembatalan projek infrastruktur yang diperlukan.
“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak dalam Dewan Parlimen agar hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan,” katanya.
Sidang media itu turut disertai Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, serta Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.-DAKWAT RAKYAT POST
