oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti sektor awam menerusi penganjuran Kursus Pengauditan Projek Pembangunan Value for Money (VFM) yang disertai 115 peserta daripada 42 agensi di seluruh negara.
Ahli Lembaga Pengarah UPSI merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit UPSI, Datuk Mohd Zaidi Aziz berkata konsep VFM berteraskan tiga prinsip utama, iaitu ekonomi (economy), kecekapan (efficiency) dan keberkesanan (effectiveness) yang perlu dijadikan asas dalam menilai prestasi serta kejayaan sesuatu projek pembangunan.
“VFM bukan bermaksud kita perlu memilih sesuatu yang paling murah, tetapi memastikan setiap perbelanjaan menghasilkan nilai dan manfaat yang terbaik,” katanya ketika merasmikan kursus berkenaan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, baru-baru ini .
Beliau berkata kejayaan sesuatu projek pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan kos dan tempoh pelaksanaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira aspek kualiti, keselamatan, kefungsian serta manfaat jangka panjang kepada pengguna.
Mohd Zaidi turut menegaskan bahawa fungsi audit perlu dilihat sebagai rakan strategik pengurusan yang berupaya memberikan nilai tambah kepada organisasi, bukan sekadar mengenal pasti kesalahan atau kelemahan.
Menurut beliau, pengauditan yang berkesan perlu memberi tumpuan kepada pengesanan risiko, pencegahan kelemahan dan cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan projek pembangunan.
“Antara risiko yang perlu diberi perhatian termasuk kelemahan perancangan, ketidakjelasan skop kerja, ketidakpatuhan prosedur perolehan, kelewatan pelaksanaan, peningkatan kos, perubahan kerja tidak terkawal serta kecacatan pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Audit Dalam UPSI, Hanafi Junit, berkata penganjuran kursus berkenaan merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme juruaudit serta pegawai yang terlibat dalam pengurusan projek pembangunan.
Beliau berkata pengauditan projek pembangunan memerlukan kefahaman menyeluruh yang merangkumi aspek kewangan, pematuhan, pengetahuan teknikal, pengurusan risiko, penilaian prestasi dan keberkesanan penggunaan sumber.
Menurutnya, perubahan landskap pengurusan projek pembangunan menuntut juruaudit untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan pengauditan dilaksanakan secara lebih komprehensif, objektif dan berorientasikan penambahbaikan.
Sepanjang kursus itu, peserta mengikuti enam sesi pembelajaran dan perkongsian kepakaran yang meliputi asas pengurusan projek pembangunan, pemahaman dokumen teknikal pembinaan, penilaian prestasi projek, analisis isu dan penemuan audit, tindakan susulan serta simulasi pengauditan tapak projek.
Kursus itu menampilkan tiga penceramah berpengalaman, iaitu Jurutera Awam Kanan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Khairul Azmeel Mohd Sopery; Jurutera Awam Penguasa JKR Pulau Pinang, Ir. Ts. PMr. Noor Ezlyn Othman; dan Ketua Audit Dalam Kementerian Kerja Raya, Dr. Sarimah Umor.
“Menerusi sesi pembelajaran dan kajian kes, peserta turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko projek, memahami lukisan serta spesifikasi teknikal, menilai dokumen Bill of Quantities (BQ) dan menganalisis punca kelemahan pelaksanaan projek menerusi pendekatan Root Cause Analysis (RCA),” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
